Sunday, December 6, 2009

Sedekah


Baru2 ni aku balik kampong dan bersolat di surau tempat aku buat korban, aku rasa sangat sedih dan terkejut keadaan surau di situ, berbanding dengan surau tempat aku tinggal sangat cantik dan mewah. Hati kecil ku berkata eeesh tak sangka di Malaysia ini ada lagi surau2 yang usang dan tidak terpelihara. Sedih bila melihatkan keadaan begitu. Sedangkan kita lihat rumah2 ibadat ugama lain cantik tersergam indah, tetapi surau kita masih banyak terdapat dalam keadaan amat menyedihkan terutama di kampong2 dan pendalaman.

Hati kecil ku ingin membantu untuk membaik pulih surau2 yang usang lagi buruk tetapi apakan daya ku aku tidak berkemampuan berbuat demikian. Kewangan ku tidak mengizinkan aku berbuat demikian. Kalau ada pun aku hanya boleh hulurkan bantuan dengan amat sedikit sahaja.
Ini membuat diriku merasa kesal sangat tentang kehidupan yang aku lalui dahulu. Kalau lah aku tidak membazir dulu sudah tentu aku dapat memberi sumbangan yang banyak untuk membaik pulih surau2 yang usang di merata2 tempat, tetapi aaah...... alangkah ruginya aku. Entahlah aku betul2 menyesali kehidupan diri aku yang lalu, tidak menafaatkan langsung untuk bekalan atau pelaburan di akhirat, betul2 menyesal.
Aku sanggup melancong keluar negara dan berhibur serta membeli belah dengan barangan2 yang berjenama. Kalau aku kira2 dan kumpulkan mungkin sudah beratus ribu aku habis kerana melancong, membeli belah di luar negara. Merugikan negara ku kerana pertukaran asing dan paling sedih ialah aku yang rugi kerana tidak pandai melabur kewangan ku untuk pelaburan akhirat.

Bagi ku bukan tidak boleh melancong di luar negara, tetapi mesti menafaatkan nya seperti kita melihat keindaan alam ciptaan Allah, menziarah ke tempat2 sejarah Islam, bersedekah pada pertubuhan Islam untuk pembangunan orang2 Islam di tempat kita ziarah dan sebagainya, bukan buat macam aku hanya melihat keindahan alam ciptaan Allah dan berhibur serta menghabiskan duit membeli belah. Sekali lagi aku amat kesal.!!!

Meluahkan perasaan kesal pun tiada guna segala2 sudah berlaku, sekarang ini aku harus tukar minda ku, di negara kita masih banyak surau2 dan masjid2 memerlukan bantuan, ini yang kita kena utamakan. Orang yang kehidupan dalam kemiskinan pun masih ramai di negara kita, bantu lah mereka, kemudian baru lah kita fikirkan untuk membantu di luar negara.

Kepada rakan2 ku yang berkemampuan jangan lah kedekut untuk bersedekah, kerana sedekah itu amat dituntut seperti dalam surah At Taubah ayat 75 yang bermaksud :

Diantara mereka ada yang berjanji kepada Allah "Sesungguhnya apabila Allah memberikan kepada kami anugerah-Nya, nescaya kami sedekahkan dan kami termasuk orang-orang yang soleh"
Kadang2 kita terfikir, gaji kita selalu tidak mencukupi untuk bersedekah, muhasabah lah diri, ada kah kita hidup cara Islam iaitu hidup amat bersederhana? Kebanyakan dari kita sebenarnya mampu tetapi cara kehidupan kita yang membuat kita sentiasa merasai tidak mencukupi. Termasuk lah diri ku. Hidup hendak penuh bergaya, berpakaian berjenama, makan di restoran eklusif, melancong keluar negara dan sebagai nya sudah pasti tidak mencukupi atau pun cukup2 makan sahaja!!!

Tidak perlu kita berpakaian atau cara hidup melambangkan kedudukan kita. Islam menuntut kita berpakaian bersih dan kemas dan hidup cara sederhana itu sahaja, dengan cara kita hidup begini insyallah kita ada berlebihan wang dan seterusnya kita boleh banyak bersedekah untuk diri kita juga.
Ayuh rakan2 ku, adik2 ku dan para pembaca blog ini, tukar lah minda kita, hidup lah cara sederhana, semoga Allah memberkati kehidupan hidup kita ini, insyallah dan aku memohon pada mu Ya Allah beri lah keredhoan mu di dalam kehidupan kami. Amin

Friday, September 4, 2009

TUGAS SEBENAR PARA ISTERI

Aku biasa menerima email dari rakan-rakan tentang berbagai perkara. Antara yang menarik perhatian ku ialah perbincangan tentang tanggungjawab isteri. Macam-macam ulasan yang dibuat teman-teman tentang itu. Ada yang kata isteri tidak wajib masak untuk suami dan ada yang kata isteri wajib masak untuk suami. Aku senyum membacanya kerana aku pun dulu macam tu juga. Cakap bab hukum pakai akal dan rasa serta emosi. Bukan cakap guna wahyu dan hadis serta ijmak ulama. Ahhh… aku tersenyum lagi bila mengenangkan aku terlalu emosi dalam bab tanggungjawab isteri ini.

Apabila aku belajar dan mendalami tentang hakikat tanggungjawab isteri ini, barulah aku faham dan sedar serta insaf bahawa bukan masalah masak atau basuh kain itu yang utama. Hukum kata wajib bagi isteri melayan suami dan kehendaknya selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak. Itulah kata kuncinya. Kalau suami suruh masak ikan masin campur terung. Maka wajib bagi isteri buat kerana perintah suami itu bukan menyalahi hukum syarak. Ia satu permintaan yang baik. Jadi wajib itu bukan sebab masak. Wajib itu dengan sebab melayan kehendak suami. Ahhhh.. begitu mudah ye Islam ini. Tak perlu gaduh-gaduh dalam soal ini. Sebab itu rumahtangga orang yang faham hukum agama adalah bahagia. Kerana mereka tahu apa yang perlu mereka buat. Suami tahu kewajipan dia apa. Isteri pun tahu kewajipan dia apa. Malah kedua-duanya pun tahu kewajipan bersama.

Kepada para isteri yang membaca nukilan ini, kembalilah berpegang ajaran agama. Suami yang tidak menjalankan tugasnya nanti mati kena siksa dan masuk neraka. Allah akan balas mereka. Begitu juga dengan isteri yang tidak menjalankan tugasnya, mati nanti akan disiksa, di akhirat masuk neraka. Jangan jadi seperti kebanyakkan isteri bila suami dia tidak menjalankan tugas dengan baik sebagai suami, maka dia pun tidak menjalankan tugas dengan baik sebagai isteri. Logiknya kalau suami masuk neraka , isteri pun masuk neraka. Ahhh…. Kan bodoh namanya itu. Lantaran itu jalankan apa saja . perkara yang termasuk dalam kategori melayan suami. Mudahan kamu semua wahai para isteri masuk syurga seperti Asiah isteri firaun. Walaupun suaminya jahat tapi isteri nya baik . Allah masukkan Asiah itu dalam syurga.
Nah … aku tuliskan buat tatapan mu wahai para isteri tentang tanggung jawab seorang isteri menurut cara Islam
1. Mentaati perintah suami kecuali dalam perkara yang haram seperti suami mengajak ke majlis tari menari.
2. Memberi layanan baik kepada suami - mesra dan bijak mengambil hati suami
3. Memelihara kehormatan diri (Menjaga maruah dengan menjauhi perkara yang boleh menimbulkan fitnah, Wajib menjaga akhlak dan aurat pada setiap masa, Haram menceritakan keaiban suami kepada orang lain)
4. Menjaga harta suami - Bijak merancang perbelanjaan keluarga
5. Tinggal di rumah suami - duduk rumah suami mengikut kemampuan suami

Wahai sekelian para isteri, yakin lah kamu bahawa jika kamu mengamalkan sepenuhnya lima perkara di atas, syurga bagi mu dan kamu akan masuk ke dalamnya lebih awal dari suami kamu. Oleh itu jangan abaikan persoalan ini dan ikutlah perintah agama walaupun perintah itu bertentangan dengan kehendak kamu. Pasti disana ada berkat dan redho Allah. Itulah bekalan kamu nanti. Ku doakan semoga aku dan kamu semua mendapat apa yang kita impi-impikan iaitu isteri solehah. Amin..

Thursday, September 3, 2009

RAMADAN BULAN IBADAT

Ramadan tiba lagi. Aku akan melakukan ibadat Ramadan seperti biasa sebagaimana tahun-tahun yang lalu. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan nasihat dan teguran dari temanku bahawa apa yang aku lakukan selama ini dalam bulan Ramadan adalah tidak sepertimana yang dianjurkan oleh agama. Aku berpuasa tidak ikut sunnah nabi yang sebenarnya , aku berbuka dan bersahur pun begitu. Malah semua yang pernah aku buat dulu itu nyata banyak kekurangannya. Dan senang cakap aku buat dulu hanya sekadar buat saja, sudah jadi semacam adat dan bukan lagi ibadat. Nyata aku mengalami kerugian yang besar sepanjang 40 tahun aku hidup dalam bulan Ramadan dalam keadaan baligh
Aku ada membaca buku "Nasihat Agama dan Wasiat Iman" yang menyarankan supaya diperbanyakkan ibadat dan amalan yang baik dalam bulan bertuah ini. Ini kerana ganjaran yang akan diperolehi berganda-ganda lebih dari bulan biasa. Ahhh…. Alangkah bodohnya aku dulu kerana tidak merebut peluang yang begini hebat yang Allah janjikan.
Aku dulu memahami Ramadan adalah bulan puasa. Sebenarnya kefahaman aku itu silap. Ramadan adalah satu bulan yang sangat mulia di dalamnya mengandungi berbagai-bagai ibadat yang diberikan pahala yang banyak. Jadi Ramadan bukan lagi bulan puasa. Ia sebenarnya bulan ibadat. Antara ibadatnya adalah seperti berikut :
1. Berpuasa (menahan diri dari makan dan minum pada hari siang )
2. Berbuka (makan dan minum pada waktu malam)
3. Bersahur (bersiap untuk puasa esok hari, waktunya ialah dinihari)
4. Memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa (kurma dan air segelas)
5. Solat tarawikh (solat sunat berehat-rehat pada malam hari lepas isyak sampai subuh)
6. Bertadarus dan bertilawah Al-Quran (belajar dan baca Al-Quran)
7. Beriktikaf di masjid (duduk dalam masjid pada malam hari)
8. Mengeluarkan zakat fitrah (bayar pada amil untuk bantu orang miskin menyambut raya)

Aku berpuasa tapi hanya perut dan mulut sahaja yang berpuasa, anggota lain tidak berpuasa. Aku berbuka tapi bukan dengan kurma dan air sejuk malah dengan berbagai makanan yang menyebabkan aku mudah dapat penyakit. Aku bersahur tapi tidak dihujung waktu dan makan dengan makanan yang mudah mendatangkan penyakit juga. Aku bertarawikh tapi tidak berjemaah malah sendirian dalam bilik. Aku membaca quran sorang-sorang tanpa ada yang menyemak bacaan ku sedangkan Nabi sendiri pun bacaannya disemak oleh jibril tiap malam dalam bulan Ramadan. Ahhh… terlalu banyak kesalahan yang aku buat sepanjang Ramadan lalu. Nyata amalan tanpa kefahaman dan keyakinan yang jitu banyak merugikan dari menguntungkan.
Ya Allah … berilah peluang untuk aku menebus kesilapan yang lalu supaya aku termasuk dalam golongan yang beruntung dalam bulan Ramadan ini. Berilah aku kekuatan supaya aku boleh aturkan jadual untuk aku beribadat dengan baik walaupun aku sibuk dengan kerja rutin ku. Permudahkanlah usaha aku untuk mendapat redho Mu dalam bulan yang mulia ini .

Kepada rakan , teman, kaum kerabat ku yang ku sayangi semuanya. Marilah berusaha untuk mendapatkan keuntungan Ramadan dengan melakukan apa yang aku senaraikan itu bersungguh-sungguh dan dengan cara yang betul. Belajarlah lagi untuk memperbaiki amalan kamu kerana amalan yang dibuat tanpa ilmu dan kefahaman yang betul akan ditolak oleh Allah. Alangkah ruginya kalau amalan yang kamu buat selama sebulan ini tidak dicatat oleh Allah dalam kitab amalan catatan Nya. Nanti kemana kamu mahu minta pertolongan pada hari kiamat kalau bekalan tidak ada. Dan jika ada pun tidak mencukupi. Justeru itu segeralah memperbaikinya mulai sekarang. Mudahan kamu semua mendapat hidayah Allah. Amin.

Thursday, August 20, 2009

BUAT ALASAN ELAK IBADAT CIRI MUNAFIK

Hari ini badan aku rasa tidak selesa, ada rasa demam dan selsema serta sakit-sakit seluruh badan, namun aku gagahkan diri ku untuk pergi bekerja mencari rezeki. Di pejabat aku memakai topeng untuk mengelak orang lain dari terkena virus mungkin bukan H1N1 kerana aku tak ada tanda-tanda dijangkiti virus itu , tetapi kerana langkah berjaga-jaga aku memakai nya juga walaupun terasa lemas.

Waktu tengahari aku pergi membeli makanan seperti biasa dan memakannya di pejabat aku. Aku tidak pergi ke masjid untuk bersolat berjemaah zohor hari ini sepertimana biasa yang aku buat pada hari-hari yang lain, sebaliknya aku hanya bersolat sendirian sahaja di pejabat aku dengan alasan badan aku rasa tidak sihat dan bimbang orang lain di masjid akan mendapat demam dan selsema aku ini.

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan teguran bahawa apa yang aku buat itu tadi adalah ciri-ciri orang munafik. Aku tersentak dan bertanya mengapa sedangkan aku kan sakit dan lemah-lemah badan! Rupanya aku melebihkan dunia dan mengurangkan akhirat itu adalah salah satu ciri munafik (berpura-pura dan suka mencari-cari alasan). Mengapa aku boleh pergi beli makanan di bawah pejabat aku dalam keadaan aku sakit dan aku tidak boleh pergi masjid solat berjemaah juga dalam keadaan aku sakit? Kedua-dua tempat itu adalah berhampiran dengan pejabat ku. Kalau betul aku sakit mana mungkin aku boleh turun beli makanan. Paling tidak aku akan suruh staf aku belikan. Itu tandanya aku betul-betul sakit. Ini tidak bila untuk cari makanan dunia, sakit pun aku boleh buat, tapi bila untuk cari makanan akhirat, aku tidak boleh buat dengan alasan aku sakit. Kan Allah jadikan sakit itu untuk uji aku. Dia mahu lihat istiqomah kah aku dengan ibadatku. Itu saja. Tapi rupanya aku tidak faham semua itu.

Sebab itu aku kena belajar agama ini dengan lebih mendalam lagi, bukan sekadar mencari ilmu saja, malah lebih dari itu lagi aku kena dapatkan. Lalu aku teringat akan kata-kata nasihat alim ulamak yang mengatakan bahawa hidup ini mesti ada ilmu, mesti ada kefahaman, mesti ada semangat dan mesti ada istiqamah (tetap pendirian). Aku muhasabah diriku ternyata aku tidak ada keempat perkara yang disebutkan oleh alim ulamak itu. Aku tidak ada ilmu yang banyak tentang Islam, aku tidak faham sepenuhnya tentang Islam, aku tidak ada semangat yang kuat untuk amalkan perintah Islam dan aku tidak ada istiqomah yang kuat untuk terus beramal dengan amalan Islam tidak kira apa jua keadaan dan suasana. Mulai sekarang aku akan berpegang kepada empat nasihat itu iaitu ilmu, faham, semangat dan istiqomah.
Aku insaf dan rasa bersalah pada diriku dan pada Allah. Kalau betul aku sakit mengapa aku boleh pergi kerja dan memandu kereta dalam masa 30 minit untuk sampai pejabat aku. Dan untuk pergi masjid yang hanya 50 meter dari pejabat aku itu , aku tidak mampu dan buat alasan. Aku mulai takut dan bimbang jika alasan sakit ku itu Allah tidak akan terima. Alangkah ruginya aku. Ternyata aku lebihkan mencari wang dunia, tetapi aku abaikan mencari wang akhirat (pahala). Wang dunia hanya boleh beli barang dunia yang sifatnya akan musnah. Tapi wang akhirat (pahala) boleh beli barang syurga yang sifatnya kekal selama-lamanya. Ahh…. alangkah bodoh nya aku.

Bila bab kerja mencari duit sakit pun aku buat, sebab nya aku dibayar gaji dan ada amanah dari majikan ku yang wajib aku buat. Tapi aku lupa bahawa aku juga diamanahkan oleh majikan ku yang telah menciptakan aku supaya melakukan ibadat yang paling penting iaitu solat berjemaah. Majikan aku itu ialah Allah, Dia amanahkan aku solat berjemaah dan Dia bayar aku nanti dengan 27 pahala setiap kali aku solat berjemaah. Bayaran akan dibuat nanti dalam kubur dan dalam syurga. Sepatutnya majikan inilah yang perlu aku utamakan sebab bayaran gajinya cukup lumayan dan menyelamatkan aku dari azab. Sepatutnya aku tidak lagi bermain-main dengan alasan sakit bila mahu melakukan ibadat kepada Allah. Ya Allah ampuni lah aku, jauhi lah aku dari sifat munafik!! Jauhi lah aku dari kecintaan dunia dan masuki lah aku dalam golongan orang-orang yang Kau redhai.

Percayalah wahai rakan dan kaum kerabatku, jika kamu membiasakan melakukan ibadat masa muda dan sihat, kamu juga akan mudah melakukan ibadat itu pada masa kamu tua dan sakit. Kalau masa sihat kamu beribadat, masa sakit pun kamu mesti beribadat jua mengikut kemampuan. Itulah ajaran agama. Ayuh segera pulihkan kefahaman anda sebelum malaikat Izrail datang mencabut nyawa anda.

Wednesday, August 5, 2009

PENGALAMAN DALAM WAD

Baru-baru ini aku dimasukan ke sebuah hospital swasta untuk menerima rawatan sakit yang aku deritai sudah sekian lama. Layanannya cukup baik sekali maklumlah bayarannya pun baik juga. Aku seperti duduk di rumah sendiri dengan diberikan kemudahan yang biasa aku dapat di rumah. Duduk seorang sebilik tanpa melihat keadaan orang lain sakit kurang menginsafkan aku.
Aku mula terbayang keadaan orang yang susah dan miskin untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Menunggu merintih dan merana sudah menjadi asam garam hidup orang susah sehingga untuk mendapat rawatan pun mereka masih berkeadaan begitu. Setengahnya belum sempat mendapat rawatan ajal datang meragut nyawa mereka.

Tiada siapa yang menangisi kematian mereka. Tiada siapa yang peduli dengan kematian mereka. Tiada laporan dari wartawan, tiada vip yang simpati. Ahhh dunia. Mengapa harus ada dua kelompok itu. Mengapa harus si miskin dimiskinkan dan sikaya dikayakan. Ajaran Islam yang aku pelajari ialah sikaya membantu meringankan kesusahan si miskin. Dan si miskin membalasnya dengan menghormati sikaya dan mengucapkan terima kasih.

Hospital swasta ditubuhkan untuk apa ye? Adakah untuk mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan? Atau di tubuhkan untuk mengaut keuntungan semata-mata? Atau ditubuhkan untuk menyenangkan hati orang yang berduit dan berharta supaya mereka dapat sembuh dengan cepat? Atau untuk menarik ramai doktor hospital kerajaan pergi kepada mereka? Ahhh….. aku hilang kata-kata untuk bertanya lagi. Tapi yang nyata ramai insan yang menjadi kaya dengan tertubuhnya hospital swasta ini. Biarkan lah, nanti di akhirat jawablah semua pertanyaan Allah. Di sana nanti akan terbongkarlah apa rahsia dan tujuannya.
Wahai teman-teman yang aku kasihi dan sanjungi. Hendaklah kamu membantu simiskin dan orang yang kurang upaya untuk tujuan kesihatan. Mereka pun manusia yang perlukan rawatan sempurna dan selesa agar mereka cepat sembuh. Mereka juga ada saham untuk membangunkan negara. Percayalah tanpa mereka mana mungkin ada jalanraya, beras, nasi, ikan sayur dan lain-lain keperluan asas yang kamu nikmati seharian. Ayuh sumbangkanlah sedikit untuk kehidupan mereka. Carilah simiskin ini di kampung dan di desa. Bantulah mereka kerana itu adalah amalan yang sangat berguna di hari kemudian.

JANGAN MENANGGUHKAN NIAT YANG BAIK

Aku menziarahi dua kematian dalam minggu ini. Kemesraan mereka sering terbayang dimindaku. Begitu cepat mereka pergi tanpa sempat aku bermesra dan bergurau senda dengan mereka. Nyatalah bahawa semua itu adalah kehendak Allah dan bukannya kehendak manusia. Aku akur akan semua itu. Cuma yang yang terkilan kerana aku tangguhkan untuk menziarahi mereka ketika mereka sakit. Aku sepatutnya pergi menziarahi mereka apa bila aku dapat khabar tentang sakit mereka, tetapi itulah kelemahan aku sering menangguh-menangguhkan perkara yang yang aku rasa tidak penting dan merasakan bahawa esok masih ada. Sedangkan aku tahu bahawa umur itu adalah hak Allah bukannya hak aku.

Hasil dari peristiwa itu aku mulai berfikir bahawa aku juga akan mati. Mungkin hari ini atau esok. Aku sendiri pun tidak tahu. Rakanku tadi dah pergi menemui Ilahi. Bagaimanakah agaknya malam pertama mereka dalam kubur? Bahagiakah atau tersiksakah? Ku doakan agar mereka bahagia dalam alam barzakh. Ahhhh… Aku mula resah kerana aku tidak ada amalan yang banyak yang boleh menyelamatkan aku dari siksa kubur. Sedangkan tabiat aku suka menangguh-nangguh amalan. Nampak gayanya aku kena segera berubah. Jangan menangguh-nangguhkan apa juga amalan yang aku pelajari untuk di amalkan. Segera menyahut seruan Ilahi. Itu lah slogan baru ku hasil dari muhasabah diri kematian dua rakan ku itu.
Dengarkan kisah hadis dimana Ibnu Umar r.a. telah berkata :
Rasulullah S.A.W. memegang bahuku sambil bersabda : Hendaklah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau perantau. Ibn Umar sendiri (menjelaskan dengan) berkata : Jika kau berada di waktu pagi, jangan mengharap engkau akan sampai ke petang, dan jika berada di malam jangan mengharap sampai pagi. Pergunakan kesempatan masa kesihatan untuk masa sakit, dan masa hidup untuk bekal mati. Hadis riwayat Imam Bukhari
Dari hadis tersebut sudah jelas bahawa sesuatu yang akan di kerjakan tidak usah di tunda selama kesempatan itu masih ada, sebab aku tidak mengetahui apa pula yang akan terjadi pada diri aku sendiri.
Wahai rakan, teman dan kaum kerabatku, sentiasalah ingatkan kematian kerana ianya akan menginsafkan diri kamu, dan ingatlah bahawa dunia ini hanya sementara dan hendaklah kamu sentiasa merasa rendah diri kepada Tuhan mu. Ayuh bersama-sama patuhi perintah Allah dan jauhi laranganNya. Insyallah kamu akan selamat dunia dan akhirat. Ingat lah bahawa ajal sentiasa menanti kamu bila-bila masa dan di mana-mana jua.

MENGINGATI ILMU UNTUK BERAMAL

Menuntut ilmu bukan lah perkara yang mudah. Setakat mendengar ceramah agama di surau atau di masjid adalah tidaklah mencukupi. Tanyalah pada diri kamu sendiri adakah kamu mendengar ceramah dan kuliah itu untuk menghayati dan mengamalkannya nya atau kamu hanya melakukan untuk mendapat pahala menghadiri majlis ilmu sahaja? Begitu lah yang berlaku pada diriku sebelum ini. Aku menghadiri kuliah pengajian tapi hanya untuk mendapat pahala sahaja tanpa aku praktikkan dalam urusan seharian hidupku. Kalau ada pun yang aku praktikkan hanyalah pada perkara yang aku suka sahaja. Jika perkara itu yang aku tidak suka aku abaikan nasihat dan ajaran ustaz yang berceramah dan berkuliah itu. Sebab itu lah aku menutup aurat tetapi tidak menutupi dengan fahaman. Apa yang aku faham ialah kita wajib menutup aurat itu saja dan tidak pernah memahami mengapa aurat itu wajib di tutup. Begitu juga dengan perintah Allah yang lain dimana aku hanya setakat tahu bahawa itu adalah perintah Allah dan tidak mengkaji nya lebih mendalam mengapa perintah itu diwajibkan oleh Allah. Al-Quran pun setakat membaca tetapi tidak tahu makna dan tafsiran nya.

Begitulah aku suatu masa dahulu. Aku amat kesal dengan fahaman aku pada masa itu. Sekarang aku sudah berubah. Syukur kerana aku diberi kan hidayah untuk itu. Sekarang aku mula memahami apa yang aku belajar. Banyak yang aku fahami dan mula berfikir serta aku mulai mengamalkan apa yang aku belajar dengan kefahaman.
Dahulu aku belajar sifat dua puluh, tapi tidak pernah ingat, setakat baca sahaja, begitu juga dengan rukun iman, rukun islam dan lain-lain. Tetapi sekarang aku sudah cuba untuk menghafal dan mengingati. Sekarang aku sudah mula menghafal nama-nama surah Al-Quran yang mengandungi 114 surah. Pasti kamu bertanya apakah yang kepentingan menghafal dan mengingati nama-nama surah itu?. Bagi aku ianya sangat penting kerana bila aku menghadiri kuliah, jika ustaz itu menyebut dan bercerita tentang cerita dalam Al-Quran sambil menyebut surahnya, maka mudahlah untuk aku mencarinya dalam tafsir Al-Quran untuk mengetahui huraian lanjut ulama tentang ayat itu. Maka ilmu aku akan bertambah dan lebih yakin aku dengan Islam. Maka bila aku yakin dengan Islam makin mudahlah untuk aku berbuat berbagai-bagai jenis ibadat.
Untuk rakan dan kenalan serta kaum kerabatku cubalah kamu menghafal dan fahami apa yang kamu pelajari bagi memudahkan kamu beribadat kepada Allah. Hidup ini satu perjuangan sebagai bekalan di hari Akhirat. Duit tidak bermakna pada hari itu. Yang bermakna dan bernilai ialah pahala. Untuk mendapat pahala kamu mesti beramal dan untuk memastikan amalan kamu itu betul, kamu mesti belajar dan untuk memastikan kamu belajar dengan betul, kamu mesti berguru. Jika semua itu kamu lakukan pasti kamu termasuk golongan Muttaqin. Amin Ya rabbal Alamin.