Friday, September 4, 2009

TUGAS SEBENAR PARA ISTERI

Aku biasa menerima email dari rakan-rakan tentang berbagai perkara. Antara yang menarik perhatian ku ialah perbincangan tentang tanggungjawab isteri. Macam-macam ulasan yang dibuat teman-teman tentang itu. Ada yang kata isteri tidak wajib masak untuk suami dan ada yang kata isteri wajib masak untuk suami. Aku senyum membacanya kerana aku pun dulu macam tu juga. Cakap bab hukum pakai akal dan rasa serta emosi. Bukan cakap guna wahyu dan hadis serta ijmak ulama. Ahhh… aku tersenyum lagi bila mengenangkan aku terlalu emosi dalam bab tanggungjawab isteri ini.

Apabila aku belajar dan mendalami tentang hakikat tanggungjawab isteri ini, barulah aku faham dan sedar serta insaf bahawa bukan masalah masak atau basuh kain itu yang utama. Hukum kata wajib bagi isteri melayan suami dan kehendaknya selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak. Itulah kata kuncinya. Kalau suami suruh masak ikan masin campur terung. Maka wajib bagi isteri buat kerana perintah suami itu bukan menyalahi hukum syarak. Ia satu permintaan yang baik. Jadi wajib itu bukan sebab masak. Wajib itu dengan sebab melayan kehendak suami. Ahhhh.. begitu mudah ye Islam ini. Tak perlu gaduh-gaduh dalam soal ini. Sebab itu rumahtangga orang yang faham hukum agama adalah bahagia. Kerana mereka tahu apa yang perlu mereka buat. Suami tahu kewajipan dia apa. Isteri pun tahu kewajipan dia apa. Malah kedua-duanya pun tahu kewajipan bersama.

Kepada para isteri yang membaca nukilan ini, kembalilah berpegang ajaran agama. Suami yang tidak menjalankan tugasnya nanti mati kena siksa dan masuk neraka. Allah akan balas mereka. Begitu juga dengan isteri yang tidak menjalankan tugasnya, mati nanti akan disiksa, di akhirat masuk neraka. Jangan jadi seperti kebanyakkan isteri bila suami dia tidak menjalankan tugas dengan baik sebagai suami, maka dia pun tidak menjalankan tugas dengan baik sebagai isteri. Logiknya kalau suami masuk neraka , isteri pun masuk neraka. Ahhh…. Kan bodoh namanya itu. Lantaran itu jalankan apa saja . perkara yang termasuk dalam kategori melayan suami. Mudahan kamu semua wahai para isteri masuk syurga seperti Asiah isteri firaun. Walaupun suaminya jahat tapi isteri nya baik . Allah masukkan Asiah itu dalam syurga.
Nah … aku tuliskan buat tatapan mu wahai para isteri tentang tanggung jawab seorang isteri menurut cara Islam
1. Mentaati perintah suami kecuali dalam perkara yang haram seperti suami mengajak ke majlis tari menari.
2. Memberi layanan baik kepada suami - mesra dan bijak mengambil hati suami
3. Memelihara kehormatan diri (Menjaga maruah dengan menjauhi perkara yang boleh menimbulkan fitnah, Wajib menjaga akhlak dan aurat pada setiap masa, Haram menceritakan keaiban suami kepada orang lain)
4. Menjaga harta suami - Bijak merancang perbelanjaan keluarga
5. Tinggal di rumah suami - duduk rumah suami mengikut kemampuan suami

Wahai sekelian para isteri, yakin lah kamu bahawa jika kamu mengamalkan sepenuhnya lima perkara di atas, syurga bagi mu dan kamu akan masuk ke dalamnya lebih awal dari suami kamu. Oleh itu jangan abaikan persoalan ini dan ikutlah perintah agama walaupun perintah itu bertentangan dengan kehendak kamu. Pasti disana ada berkat dan redho Allah. Itulah bekalan kamu nanti. Ku doakan semoga aku dan kamu semua mendapat apa yang kita impi-impikan iaitu isteri solehah. Amin..

Thursday, September 3, 2009

RAMADAN BULAN IBADAT

Ramadan tiba lagi. Aku akan melakukan ibadat Ramadan seperti biasa sebagaimana tahun-tahun yang lalu. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan nasihat dan teguran dari temanku bahawa apa yang aku lakukan selama ini dalam bulan Ramadan adalah tidak sepertimana yang dianjurkan oleh agama. Aku berpuasa tidak ikut sunnah nabi yang sebenarnya , aku berbuka dan bersahur pun begitu. Malah semua yang pernah aku buat dulu itu nyata banyak kekurangannya. Dan senang cakap aku buat dulu hanya sekadar buat saja, sudah jadi semacam adat dan bukan lagi ibadat. Nyata aku mengalami kerugian yang besar sepanjang 40 tahun aku hidup dalam bulan Ramadan dalam keadaan baligh
Aku ada membaca buku "Nasihat Agama dan Wasiat Iman" yang menyarankan supaya diperbanyakkan ibadat dan amalan yang baik dalam bulan bertuah ini. Ini kerana ganjaran yang akan diperolehi berganda-ganda lebih dari bulan biasa. Ahhh…. Alangkah bodohnya aku dulu kerana tidak merebut peluang yang begini hebat yang Allah janjikan.
Aku dulu memahami Ramadan adalah bulan puasa. Sebenarnya kefahaman aku itu silap. Ramadan adalah satu bulan yang sangat mulia di dalamnya mengandungi berbagai-bagai ibadat yang diberikan pahala yang banyak. Jadi Ramadan bukan lagi bulan puasa. Ia sebenarnya bulan ibadat. Antara ibadatnya adalah seperti berikut :
1. Berpuasa (menahan diri dari makan dan minum pada hari siang )
2. Berbuka (makan dan minum pada waktu malam)
3. Bersahur (bersiap untuk puasa esok hari, waktunya ialah dinihari)
4. Memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa (kurma dan air segelas)
5. Solat tarawikh (solat sunat berehat-rehat pada malam hari lepas isyak sampai subuh)
6. Bertadarus dan bertilawah Al-Quran (belajar dan baca Al-Quran)
7. Beriktikaf di masjid (duduk dalam masjid pada malam hari)
8. Mengeluarkan zakat fitrah (bayar pada amil untuk bantu orang miskin menyambut raya)

Aku berpuasa tapi hanya perut dan mulut sahaja yang berpuasa, anggota lain tidak berpuasa. Aku berbuka tapi bukan dengan kurma dan air sejuk malah dengan berbagai makanan yang menyebabkan aku mudah dapat penyakit. Aku bersahur tapi tidak dihujung waktu dan makan dengan makanan yang mudah mendatangkan penyakit juga. Aku bertarawikh tapi tidak berjemaah malah sendirian dalam bilik. Aku membaca quran sorang-sorang tanpa ada yang menyemak bacaan ku sedangkan Nabi sendiri pun bacaannya disemak oleh jibril tiap malam dalam bulan Ramadan. Ahhh… terlalu banyak kesalahan yang aku buat sepanjang Ramadan lalu. Nyata amalan tanpa kefahaman dan keyakinan yang jitu banyak merugikan dari menguntungkan.
Ya Allah … berilah peluang untuk aku menebus kesilapan yang lalu supaya aku termasuk dalam golongan yang beruntung dalam bulan Ramadan ini. Berilah aku kekuatan supaya aku boleh aturkan jadual untuk aku beribadat dengan baik walaupun aku sibuk dengan kerja rutin ku. Permudahkanlah usaha aku untuk mendapat redho Mu dalam bulan yang mulia ini .

Kepada rakan , teman, kaum kerabat ku yang ku sayangi semuanya. Marilah berusaha untuk mendapatkan keuntungan Ramadan dengan melakukan apa yang aku senaraikan itu bersungguh-sungguh dan dengan cara yang betul. Belajarlah lagi untuk memperbaiki amalan kamu kerana amalan yang dibuat tanpa ilmu dan kefahaman yang betul akan ditolak oleh Allah. Alangkah ruginya kalau amalan yang kamu buat selama sebulan ini tidak dicatat oleh Allah dalam kitab amalan catatan Nya. Nanti kemana kamu mahu minta pertolongan pada hari kiamat kalau bekalan tidak ada. Dan jika ada pun tidak mencukupi. Justeru itu segeralah memperbaikinya mulai sekarang. Mudahan kamu semua mendapat hidayah Allah. Amin.