Thursday, August 20, 2009

BUAT ALASAN ELAK IBADAT CIRI MUNAFIK

Hari ini badan aku rasa tidak selesa, ada rasa demam dan selsema serta sakit-sakit seluruh badan, namun aku gagahkan diri ku untuk pergi bekerja mencari rezeki. Di pejabat aku memakai topeng untuk mengelak orang lain dari terkena virus mungkin bukan H1N1 kerana aku tak ada tanda-tanda dijangkiti virus itu , tetapi kerana langkah berjaga-jaga aku memakai nya juga walaupun terasa lemas.

Waktu tengahari aku pergi membeli makanan seperti biasa dan memakannya di pejabat aku. Aku tidak pergi ke masjid untuk bersolat berjemaah zohor hari ini sepertimana biasa yang aku buat pada hari-hari yang lain, sebaliknya aku hanya bersolat sendirian sahaja di pejabat aku dengan alasan badan aku rasa tidak sihat dan bimbang orang lain di masjid akan mendapat demam dan selsema aku ini.

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan teguran bahawa apa yang aku buat itu tadi adalah ciri-ciri orang munafik. Aku tersentak dan bertanya mengapa sedangkan aku kan sakit dan lemah-lemah badan! Rupanya aku melebihkan dunia dan mengurangkan akhirat itu adalah salah satu ciri munafik (berpura-pura dan suka mencari-cari alasan). Mengapa aku boleh pergi beli makanan di bawah pejabat aku dalam keadaan aku sakit dan aku tidak boleh pergi masjid solat berjemaah juga dalam keadaan aku sakit? Kedua-dua tempat itu adalah berhampiran dengan pejabat ku. Kalau betul aku sakit mana mungkin aku boleh turun beli makanan. Paling tidak aku akan suruh staf aku belikan. Itu tandanya aku betul-betul sakit. Ini tidak bila untuk cari makanan dunia, sakit pun aku boleh buat, tapi bila untuk cari makanan akhirat, aku tidak boleh buat dengan alasan aku sakit. Kan Allah jadikan sakit itu untuk uji aku. Dia mahu lihat istiqomah kah aku dengan ibadatku. Itu saja. Tapi rupanya aku tidak faham semua itu.

Sebab itu aku kena belajar agama ini dengan lebih mendalam lagi, bukan sekadar mencari ilmu saja, malah lebih dari itu lagi aku kena dapatkan. Lalu aku teringat akan kata-kata nasihat alim ulamak yang mengatakan bahawa hidup ini mesti ada ilmu, mesti ada kefahaman, mesti ada semangat dan mesti ada istiqamah (tetap pendirian). Aku muhasabah diriku ternyata aku tidak ada keempat perkara yang disebutkan oleh alim ulamak itu. Aku tidak ada ilmu yang banyak tentang Islam, aku tidak faham sepenuhnya tentang Islam, aku tidak ada semangat yang kuat untuk amalkan perintah Islam dan aku tidak ada istiqomah yang kuat untuk terus beramal dengan amalan Islam tidak kira apa jua keadaan dan suasana. Mulai sekarang aku akan berpegang kepada empat nasihat itu iaitu ilmu, faham, semangat dan istiqomah.
Aku insaf dan rasa bersalah pada diriku dan pada Allah. Kalau betul aku sakit mengapa aku boleh pergi kerja dan memandu kereta dalam masa 30 minit untuk sampai pejabat aku. Dan untuk pergi masjid yang hanya 50 meter dari pejabat aku itu , aku tidak mampu dan buat alasan. Aku mulai takut dan bimbang jika alasan sakit ku itu Allah tidak akan terima. Alangkah ruginya aku. Ternyata aku lebihkan mencari wang dunia, tetapi aku abaikan mencari wang akhirat (pahala). Wang dunia hanya boleh beli barang dunia yang sifatnya akan musnah. Tapi wang akhirat (pahala) boleh beli barang syurga yang sifatnya kekal selama-lamanya. Ahh…. alangkah bodoh nya aku.

Bila bab kerja mencari duit sakit pun aku buat, sebab nya aku dibayar gaji dan ada amanah dari majikan ku yang wajib aku buat. Tapi aku lupa bahawa aku juga diamanahkan oleh majikan ku yang telah menciptakan aku supaya melakukan ibadat yang paling penting iaitu solat berjemaah. Majikan aku itu ialah Allah, Dia amanahkan aku solat berjemaah dan Dia bayar aku nanti dengan 27 pahala setiap kali aku solat berjemaah. Bayaran akan dibuat nanti dalam kubur dan dalam syurga. Sepatutnya majikan inilah yang perlu aku utamakan sebab bayaran gajinya cukup lumayan dan menyelamatkan aku dari azab. Sepatutnya aku tidak lagi bermain-main dengan alasan sakit bila mahu melakukan ibadat kepada Allah. Ya Allah ampuni lah aku, jauhi lah aku dari sifat munafik!! Jauhi lah aku dari kecintaan dunia dan masuki lah aku dalam golongan orang-orang yang Kau redhai.

Percayalah wahai rakan dan kaum kerabatku, jika kamu membiasakan melakukan ibadat masa muda dan sihat, kamu juga akan mudah melakukan ibadat itu pada masa kamu tua dan sakit. Kalau masa sihat kamu beribadat, masa sakit pun kamu mesti beribadat jua mengikut kemampuan. Itulah ajaran agama. Ayuh segera pulihkan kefahaman anda sebelum malaikat Izrail datang mencabut nyawa anda.

Wednesday, August 5, 2009

PENGALAMAN DALAM WAD

Baru-baru ini aku dimasukan ke sebuah hospital swasta untuk menerima rawatan sakit yang aku deritai sudah sekian lama. Layanannya cukup baik sekali maklumlah bayarannya pun baik juga. Aku seperti duduk di rumah sendiri dengan diberikan kemudahan yang biasa aku dapat di rumah. Duduk seorang sebilik tanpa melihat keadaan orang lain sakit kurang menginsafkan aku.
Aku mula terbayang keadaan orang yang susah dan miskin untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Menunggu merintih dan merana sudah menjadi asam garam hidup orang susah sehingga untuk mendapat rawatan pun mereka masih berkeadaan begitu. Setengahnya belum sempat mendapat rawatan ajal datang meragut nyawa mereka.

Tiada siapa yang menangisi kematian mereka. Tiada siapa yang peduli dengan kematian mereka. Tiada laporan dari wartawan, tiada vip yang simpati. Ahhh dunia. Mengapa harus ada dua kelompok itu. Mengapa harus si miskin dimiskinkan dan sikaya dikayakan. Ajaran Islam yang aku pelajari ialah sikaya membantu meringankan kesusahan si miskin. Dan si miskin membalasnya dengan menghormati sikaya dan mengucapkan terima kasih.

Hospital swasta ditubuhkan untuk apa ye? Adakah untuk mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan? Atau di tubuhkan untuk mengaut keuntungan semata-mata? Atau ditubuhkan untuk menyenangkan hati orang yang berduit dan berharta supaya mereka dapat sembuh dengan cepat? Atau untuk menarik ramai doktor hospital kerajaan pergi kepada mereka? Ahhh….. aku hilang kata-kata untuk bertanya lagi. Tapi yang nyata ramai insan yang menjadi kaya dengan tertubuhnya hospital swasta ini. Biarkan lah, nanti di akhirat jawablah semua pertanyaan Allah. Di sana nanti akan terbongkarlah apa rahsia dan tujuannya.
Wahai teman-teman yang aku kasihi dan sanjungi. Hendaklah kamu membantu simiskin dan orang yang kurang upaya untuk tujuan kesihatan. Mereka pun manusia yang perlukan rawatan sempurna dan selesa agar mereka cepat sembuh. Mereka juga ada saham untuk membangunkan negara. Percayalah tanpa mereka mana mungkin ada jalanraya, beras, nasi, ikan sayur dan lain-lain keperluan asas yang kamu nikmati seharian. Ayuh sumbangkanlah sedikit untuk kehidupan mereka. Carilah simiskin ini di kampung dan di desa. Bantulah mereka kerana itu adalah amalan yang sangat berguna di hari kemudian.

JANGAN MENANGGUHKAN NIAT YANG BAIK

Aku menziarahi dua kematian dalam minggu ini. Kemesraan mereka sering terbayang dimindaku. Begitu cepat mereka pergi tanpa sempat aku bermesra dan bergurau senda dengan mereka. Nyatalah bahawa semua itu adalah kehendak Allah dan bukannya kehendak manusia. Aku akur akan semua itu. Cuma yang yang terkilan kerana aku tangguhkan untuk menziarahi mereka ketika mereka sakit. Aku sepatutnya pergi menziarahi mereka apa bila aku dapat khabar tentang sakit mereka, tetapi itulah kelemahan aku sering menangguh-menangguhkan perkara yang yang aku rasa tidak penting dan merasakan bahawa esok masih ada. Sedangkan aku tahu bahawa umur itu adalah hak Allah bukannya hak aku.

Hasil dari peristiwa itu aku mulai berfikir bahawa aku juga akan mati. Mungkin hari ini atau esok. Aku sendiri pun tidak tahu. Rakanku tadi dah pergi menemui Ilahi. Bagaimanakah agaknya malam pertama mereka dalam kubur? Bahagiakah atau tersiksakah? Ku doakan agar mereka bahagia dalam alam barzakh. Ahhhh… Aku mula resah kerana aku tidak ada amalan yang banyak yang boleh menyelamatkan aku dari siksa kubur. Sedangkan tabiat aku suka menangguh-nangguh amalan. Nampak gayanya aku kena segera berubah. Jangan menangguh-nangguhkan apa juga amalan yang aku pelajari untuk di amalkan. Segera menyahut seruan Ilahi. Itu lah slogan baru ku hasil dari muhasabah diri kematian dua rakan ku itu.
Dengarkan kisah hadis dimana Ibnu Umar r.a. telah berkata :
Rasulullah S.A.W. memegang bahuku sambil bersabda : Hendaklah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau perantau. Ibn Umar sendiri (menjelaskan dengan) berkata : Jika kau berada di waktu pagi, jangan mengharap engkau akan sampai ke petang, dan jika berada di malam jangan mengharap sampai pagi. Pergunakan kesempatan masa kesihatan untuk masa sakit, dan masa hidup untuk bekal mati. Hadis riwayat Imam Bukhari
Dari hadis tersebut sudah jelas bahawa sesuatu yang akan di kerjakan tidak usah di tunda selama kesempatan itu masih ada, sebab aku tidak mengetahui apa pula yang akan terjadi pada diri aku sendiri.
Wahai rakan, teman dan kaum kerabatku, sentiasalah ingatkan kematian kerana ianya akan menginsafkan diri kamu, dan ingatlah bahawa dunia ini hanya sementara dan hendaklah kamu sentiasa merasa rendah diri kepada Tuhan mu. Ayuh bersama-sama patuhi perintah Allah dan jauhi laranganNya. Insyallah kamu akan selamat dunia dan akhirat. Ingat lah bahawa ajal sentiasa menanti kamu bila-bila masa dan di mana-mana jua.

MENGINGATI ILMU UNTUK BERAMAL

Menuntut ilmu bukan lah perkara yang mudah. Setakat mendengar ceramah agama di surau atau di masjid adalah tidaklah mencukupi. Tanyalah pada diri kamu sendiri adakah kamu mendengar ceramah dan kuliah itu untuk menghayati dan mengamalkannya nya atau kamu hanya melakukan untuk mendapat pahala menghadiri majlis ilmu sahaja? Begitu lah yang berlaku pada diriku sebelum ini. Aku menghadiri kuliah pengajian tapi hanya untuk mendapat pahala sahaja tanpa aku praktikkan dalam urusan seharian hidupku. Kalau ada pun yang aku praktikkan hanyalah pada perkara yang aku suka sahaja. Jika perkara itu yang aku tidak suka aku abaikan nasihat dan ajaran ustaz yang berceramah dan berkuliah itu. Sebab itu lah aku menutup aurat tetapi tidak menutupi dengan fahaman. Apa yang aku faham ialah kita wajib menutup aurat itu saja dan tidak pernah memahami mengapa aurat itu wajib di tutup. Begitu juga dengan perintah Allah yang lain dimana aku hanya setakat tahu bahawa itu adalah perintah Allah dan tidak mengkaji nya lebih mendalam mengapa perintah itu diwajibkan oleh Allah. Al-Quran pun setakat membaca tetapi tidak tahu makna dan tafsiran nya.

Begitulah aku suatu masa dahulu. Aku amat kesal dengan fahaman aku pada masa itu. Sekarang aku sudah berubah. Syukur kerana aku diberi kan hidayah untuk itu. Sekarang aku mula memahami apa yang aku belajar. Banyak yang aku fahami dan mula berfikir serta aku mulai mengamalkan apa yang aku belajar dengan kefahaman.
Dahulu aku belajar sifat dua puluh, tapi tidak pernah ingat, setakat baca sahaja, begitu juga dengan rukun iman, rukun islam dan lain-lain. Tetapi sekarang aku sudah cuba untuk menghafal dan mengingati. Sekarang aku sudah mula menghafal nama-nama surah Al-Quran yang mengandungi 114 surah. Pasti kamu bertanya apakah yang kepentingan menghafal dan mengingati nama-nama surah itu?. Bagi aku ianya sangat penting kerana bila aku menghadiri kuliah, jika ustaz itu menyebut dan bercerita tentang cerita dalam Al-Quran sambil menyebut surahnya, maka mudahlah untuk aku mencarinya dalam tafsir Al-Quran untuk mengetahui huraian lanjut ulama tentang ayat itu. Maka ilmu aku akan bertambah dan lebih yakin aku dengan Islam. Maka bila aku yakin dengan Islam makin mudahlah untuk aku berbuat berbagai-bagai jenis ibadat.
Untuk rakan dan kenalan serta kaum kerabatku cubalah kamu menghafal dan fahami apa yang kamu pelajari bagi memudahkan kamu beribadat kepada Allah. Hidup ini satu perjuangan sebagai bekalan di hari Akhirat. Duit tidak bermakna pada hari itu. Yang bermakna dan bernilai ialah pahala. Untuk mendapat pahala kamu mesti beramal dan untuk memastikan amalan kamu itu betul, kamu mesti belajar dan untuk memastikan kamu belajar dengan betul, kamu mesti berguru. Jika semua itu kamu lakukan pasti kamu termasuk golongan Muttaqin. Amin Ya rabbal Alamin.