Monday, June 29, 2009

MENGEJAR KEUNTUNGAN AKHIRAT

Seketika ini aku teringat akan kata Hujjatul Islam Imam Ghazali dalam kitabnya “Bidayatul Hidayah” , "Waktu itu adalah umur mu, Umur itu adalah modalmu dengan modal itu kamu akan mendapat keuntungan”. Aku tersentak lantas otakku terus berfikir dan merintih. Ahhh…. apa yang telah aku lakukan dengan umurku. Apakah aku sudah mendapat keuntungan dengan umurku itu di akhirat?? Alangkah baiknya jika dengan kehidupan aku yang agak selesa ini aku habiskan dengan membuat keuntungan di akhirat.

Aku mula teringat masa muda ku dulu. Aku terlalu mudah mengikut fesyen dan membeli barangan yang berjenama. Banyak dana aku habiskan untuk memiliki semua itu semata-mata nak memenuhi nafsu ku. Alangkah baiknya kalau waktu itu aku habiskan dana itu untuk bersedekah sebagai pelaburan di akhirat nanti! Rasa kecewa mula meresap kini dalam diriku kerana kegagalan membuat bekalan untuk akhirat masa muda. Aku juga sering melancong ke luar negara untuk menghilangkan tekanan kerja. Banyak juga dana yang aku habiskan untuk sampai ke tempat itu. Sepatutnya aku ziarah ke tempat yang boleh menambah keyakinan ku pada Allah seperti tempat lahirnya Nabi-Nabi dan masjid yang melahirkan banyak ulama pejuang Islam atau pun aku serahkan sedikit bantuan pada orang miskin di tempat yang aku lawati. Tapi aku habiskan dengan bersukaria dan gelak ketawa. Baru kini aku terasa amat rugi dengan tindakan aku dulu.
Sekarang, sebelum aku melakukan sesuatu aku mesti berfikir apakah yang aku buat ini akan mendatangkan keuntungan pada diri aku di akhirat atau tidak. Jika menguntungkan aku akn laksanankan dengan faham dan istiqomah. Kalau merugikan aku, pasti aku tidak akan melaksanakannya. Masa untuk aku menambah keuntungan di akhirat sudah hampir kepenghujungnya Aku perlu segera tanpa menunggu dan menanti. Aku mahu aku mengadap Allah dengan membawa banyak keuntungan. Ya Allah jangan Kau sia-siakan hidup aku ini. Wahai teman dan kaum kerabatku ku,, hitungkan lah dirimu dengan berfikir adakah kamu telah banyak membuat keuntungan pada dirimu? Apa ditunggu lagi. Ayuh segera laksanakan apa saja ibadat yang memberi pahala di akhirat nanti. Susunlah jadual hidup mu seharian. Bahagikanlah yang mana satu urusan dunia dan yang mana satu urusan akhirat. Peganglah kata-kata ahli hikmah. "Cari dunia kejar akhirat" Insyallah kita akan mendapat keuntungan!

Saturday, June 20, 2009

TAUBAT DARI DOSA SATU KEWAJIPAN

Aku adalah insan yang sering melakukan dosa. Setiap hari ada saja dosa yang aku lakukan, baik dosa kecil mahupun dosa besar. Keadaan sekeliling tidak memungkinkan aku bebas dari dosa. Dulu aku menyangka jika aku sudah solat, tidak mencuri dan tidak menipu serta tidak mengumpat maka aku sudah bersih dari dosa. Rupanya tidak begitu. Dosa itu ada di sekeliling kita. Melihat aurat lelaki pun dosa, bergaul bebas lelaki dengan perempuan adalah dosa, membiarkan anak-anak tidak menutup aurat yang betul pun satu dosa, cara hidup mengikut cara orang kafir pun satu dosa, makan gelak ketawa ketika orang azan pun satu dosa, keluar rumah sorang diri malam-malam tanpa ditemani muhrim pun satu dosa. Ahh.. rupanya dosa sungguh banyak. Itulah untungnya bila belajar dari alim ulamak. Dapat aku kenal yang mana ibadat yang mana maksiat, yang mana dosa dan yang mana pahala.

Aku mulai risau kerana aku banyak dosa. Ahh keadaan semakin rumit bila aku digambarkan neraka. Tetapi Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Dia telah sediakan satu cara untuk menghapuskan dosa. Taubat namanya. Taubat nasuha mengikut istilahnya. Apa itu taubat nasuha?
Taubat nasuha itu ialah kembali kepada kesucian setelah melakukan dosa dengan cara mencurahkan taat setia kepada Allah dan berniat untuk berbuat baik dan tinggalkan segala dosa serta berjanji pada diri tidak akan kembali lagi membuat dosa seperti yang pernah dikerjakan dulu.

Allah pasti akan mengampuni dosa aku jika aku buat mengikut takrif taubat itu. Aku yakin itu. Keyakinan aku itu berdasarkan sabda Nabi SAW riwayat Tirmidzi "Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat seseorang hambanya selama nyawanya belum sampai di kerongkong”
Juga aku teringat akan sabda baginda SAW yang diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Ibnu Majah: "Tiap-tiap Bani Adam itu ada membuat kesalahan, tetapi sebaik-baiknya orang yang banyak berbuat kesalahan ialah orang yang banyak bertaubat"

Kini aku mula bertaubat. Semua kesalahan yang dulunya aku rasa tidak salah, sudah aku buang jauh-jauh dari hidupku. Cubaan dan dugaan amat banyak disekeliling. Aku isikan masa taubatku itu dengan mendekatkan diri kepada Allah. Caranya ialah jangan berkawan dengan orang yang berbuat jahat dan berkawanlah dengan alim ulamak. Tanya mereka apa yang patut dibuat dan perlu dibuat. Jangan sudah buat baru nak tanya. Juga aku banyak membaca buku dan mendengar kuliah dan ceramah. Dulu aku membaca tapi tidak memikirkan apa yang aku baca. Kini aku membaca dan berfikir setiap patah perkataan yang aku baca. Rupanya dengan ilmu aku selamat dari berbuat dosa.

Oh Tuhan Kau memang Maha Pengampun. Ampunkan lah dosa-dosaku dan berilah aku kesabaran untuk terus dalam taubat. Kepada rakan-rakan dan kaum kerabat aku, bertaubatlah kalian sebelum kalian mati. Kerana pada ketika itu semua tidak berguna lagi melainkan amalan kebaikan yang kalian lakukan masa hidup. Oleh itu isikan masa dengan amalan bukan dengan maksiat. Mudah-mudahan Allah berkati kita semua. Amin…. Ya Robbal Alamin.

Wednesday, June 17, 2009

SOLATKU DULU DAN KINI

Aku telah melakukan solat lima waktu sehari semalam sudah berpuluh tahun. Aku melakukannya kerana hukum mengatakan wajib bagi wanita yang telah baligh. Yang aku musykilkan dan risaukan apakah solat aku itu diterima oleh Allah. Aku melakukannya dulu mengikut kata hatiku dan bukan sangat mengikut kaifiyat dan cara yang sempurna seperti yang aku faham kini. Tugasan kerja yang banyak menyebabkan aku sering melewatkan zohor untuk ditunaikan dekat dengan waktu asar. Senang sikit kata hati jahilku. Hati jahilku berkata solat ni asalkan buat sudahlah. Hanya untuk mengelakkan dosa. Lain-lain pertimbangan langsung tiada dalam mindaku. Ahh…. Aku terlalu mempermudahkan hukum. Kesal sangat hingga menusuk kalbu kini. Sedih….!
Bila aku belajar dengan mendalam tentang hukum, baru aku tahu solat itu tidak boleh dipermudahkan begitu. Aku diasuh dengan penekanan mana yang lebih penting, harta akhirat ke harta dunia. Mengapa dalam mencari harta dunia aku boleh buat macam-macam ke sana ke sini tepat pada waktu yang dijanjikan. Tapi dalam mencari harta akhirat aku sering mencipta alasan-alasan yang sebenarnya boleh diatasi dengan mudah.Untuk mencari rezeki bulanan bukan main lagi bersungguh-sungguhnya, siap dengan perancangannya, ada meetingnya, ada marketingnya. Ahh macam-macam. Tapi untuk mencari pahala di akhirat dan bekalan dalam kubur aku tidak pulak bersungguh-sungguh dan bersiap sedia dengan perancangannya, dengan meetingnya dan lain-lain. Kan pelik namanya itu. Harta dunia yang masuk mulut dan keluar ikut punggung itu, aku boleh buat bermati-matian. Harta akhirat yang kekal abadi dan menyenangkan aku selama-lamanya aku buat sambil lewa. Ahh .... aku memang kejam pada diriku sendiri. Itulah yang aku dapati hasil dari mendengar kuliah dan leteran alim ulamak. Memang sakit pada awalnya kena perli, kena paksa, kena kutuk. Tapi kan sifat ubat tu pahit. Sifat penyakit tu manis. Aku terima dan aku cuba lawan cara aku berfikir. Aku ubah minda ku berfikir dan hatiku merasa. Nah ... sekarang aku sudah boleh solat tepat pada waktunya secara berjemaah di masjid. Malah aku sudah mesra dengan solat sunat rawatib (mengiringi sebelum dan selepas solat fardu). Satu perubahan yang sangat mengembirakan aku. Kini aku rasa sungguh damai dan tenang.
Yang aku hairan dan pelik ialah aku bekerja sama seperti dulu. Tapi dulu aku mudah-mudahkan urusan solat. Sekarang dengan kerja yang sama aku boleh pulak buat ikut sunnah Nabi Muhammad SAW! Nyata untuk berubah bukan sekadar ada ilmu. Malah sangat penting ialah faham dan ada kesungguhan nak berubah. Dan yang paling penting ialah perubahan cara berfikir iaitu berfikir menjangkau jauh ke akhirat (hidup selepas mati)
Ayuh lah bangkit dari kelalaian dan kealpaan dunia wahai semua yang mengenali aku, yang rapat dan yang tidak rapat. Apa tunggu lagi kerana maut tidak pernah menunggu kamu. Bila dia datang tidak lengah sesaat pun. Untung kalau amalan banyak dalam dada. Rugi lah kalau dosa yang bertakhta dalam jiwa. Fikirkan lah wahai kenalan dan keluargaku selagi Allah beri kamu berfikir. Jangan abaikan nasihat ikhlas dari ku ini. Mari bersama menuju perubahan secara total.!

Friday, June 12, 2009

HALANGAN UNTUK BERUBAH (AURAT)

Aku masih ingat waktu aku mula nak tutup aurat dengan betul mengikut hukum. Waktu tu aku rasa aku dah menutup aurat tetapi hasil dari pengajian ku secara formal ku dapati apa yang aku amalkan ini tidak mengikut hukum yang sebenarnya. Hukum mengatakan bahawa tutup aurat itu ialah dengan menutup kepala hingga ke dada dan memakai pakaian yang tebal, longgar dan tidak ketat serta warna yang tidak menarik perhatian orang iaitu warna putih, hijau, biru dan hitam. Teorinya sangat mudah tetapi nak amalkan sangatlah susah kerana dah biasa dengan tudung lilit roti canai dan kepala berpaku serta hasutan syaitan dan minda yang mengambil ringan soal hukum.
Pada masa ini lah aku mula faham antara ilmu dengan amal. Ilmu tentang tutup aurat aku dah lama tahu tapi masih sukar aku nak amalkan. Rupanya minda kena betulkan. Keyakinan kepada balasan azab Allah itu amat berperanan untuk memaksa diri mengamalkan ajaran agama. Bila aku mula amalkannya, perasaan kolot dan malu mula bersarang dalam hati. Wanita korperat yang pakai fesyen terkini tiba2 memakai pakaian simple tapi penuh berkat iaitu baju kurung dan jubah bertudung tiga segi tanpa paku sana dan sini. Tapi aku kuatkan semangat serta aku sentiasa dapatkan motivasi dari alim ulamak dan akhirnya semua halangan itu dapat ku atasi . Sekarang aku dah biasa malah berbangga kerana dapat menunaikan perintah Allah. Hati ku damai dan aman sekarang. Bebanan dosa aurat itu mula menghakis. Semua sekelilingku merestui amalan aku untuk menghampirkan diri pada Nya. Syukur kepada Allah Robbul Jalil.
Mudah-mudahan amalan aku ini berkekalan dan menjadi ikutan orang-orang yang mengenali aku. Kepada semua yang membaca paparan ku ini ingatlah hidup ini bukan milik kita. Yang jadi milik kita adalah pahala. Maka rebutlah peluang mencari pahala sebelum peluang itu ditutup oleh Allah. Pada masa itu amatlah ruginya kita. Ayuh segerakan berubah menuju redho Allah.

Wednesday, June 10, 2009

PERUBAHAN ADALAH HIDAYAH

Lihatlah aku dengan perubahanku. Inilah yang kucari selama ini. Nah .... sekarang sudah bertemu. Kupastikan tiada langkah kecundang sekali ini. Biarpun banyak halangannya ku percaya di sana pasti ada bantuan dari Mu Tuhan Maha Kuasa. Kepada semua yang mengenali aku marilah bersamaku ke arah pintu syurga. Ayuh.... jangan tunggu dan buat alasan.

KESEDARAN DARI KEALPAAN

Aku insan biasa HambaNya yang tak luput dari dosa. Hidupku sentiasa dikelilingi dengan kejahilan. Duniaku penuh dengan keseronokan. Permulaan hidupku singgah di rahim bonda. Setelah aku dijejakkan ke dunia. Banyak kelalaian yang aku temui di dunia. Banyak juga berlaku dusta dan aniaya di dalamnya. Kelalaian menyebabkan aku lupa padaNya. Keseronokan hidup menjadikan aku seorang hamba yang alpa. Sehingga apabila musibah melanda diri ini. Barulah aku tersedar dari buaian mimpi palsu duniawi. Selama ini aku leka dari mengingati Nya. Aku abaikan tanggungjawab ku sebagai seorang hamba Nya . Aku terlalu taksub dan cinta akan dunia. Sehingga melupakan hari akhirat yang bakal menjelma. Dosa dan noda telah menggelapkan hati. Hanya pintu taubat sebagai penyembuh nurani . Hidayah itu pemberian Ilahi. Mati itu suatu yang amat pasti

Kini aku insaf akan kejahilan diri ini. Aku bertaubat pada Yang Maha Esa. Aku ingin kembali ke pangkal jalan Ilahi. Jalan kebenaran yang membawa aku pada keredhaan Nya. Aku tak mahu lagi hidupku berlumuran dengan dosa. Aku tahu aku tak layak untuk ke syurga Mu. Tetapi aku tak sanggup hendak menanggung seksa api neraka Mu. Ampunkanlah dosa-dosaku. Masih adakah lagi secebis rahmat Mu buat diri ini?. Masih adakah lagi ruang untuk aku mengintai redha Mu Ilahi? Sesungguhnya hidupku ini takkan bererti dan bermakna. Tanpa redha daripada Tuhan Yang Maha Esa
Ya Allah ...... Terimalah taubatku ya Tawwab..
Ya Allah .......Ampunkanlah dosa-dosaku ya Ghofur..
Redhailah kehidupanku ya Allah..
Semoga hidup dan matiku hanya untuk Mu.. Ya Allah.