Thursday, September 3, 2009

RAMADAN BULAN IBADAT

Ramadan tiba lagi. Aku akan melakukan ibadat Ramadan seperti biasa sebagaimana tahun-tahun yang lalu. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan nasihat dan teguran dari temanku bahawa apa yang aku lakukan selama ini dalam bulan Ramadan adalah tidak sepertimana yang dianjurkan oleh agama. Aku berpuasa tidak ikut sunnah nabi yang sebenarnya , aku berbuka dan bersahur pun begitu. Malah semua yang pernah aku buat dulu itu nyata banyak kekurangannya. Dan senang cakap aku buat dulu hanya sekadar buat saja, sudah jadi semacam adat dan bukan lagi ibadat. Nyata aku mengalami kerugian yang besar sepanjang 40 tahun aku hidup dalam bulan Ramadan dalam keadaan baligh
Aku ada membaca buku "Nasihat Agama dan Wasiat Iman" yang menyarankan supaya diperbanyakkan ibadat dan amalan yang baik dalam bulan bertuah ini. Ini kerana ganjaran yang akan diperolehi berganda-ganda lebih dari bulan biasa. Ahhh…. Alangkah bodohnya aku dulu kerana tidak merebut peluang yang begini hebat yang Allah janjikan.
Aku dulu memahami Ramadan adalah bulan puasa. Sebenarnya kefahaman aku itu silap. Ramadan adalah satu bulan yang sangat mulia di dalamnya mengandungi berbagai-bagai ibadat yang diberikan pahala yang banyak. Jadi Ramadan bukan lagi bulan puasa. Ia sebenarnya bulan ibadat. Antara ibadatnya adalah seperti berikut :
1. Berpuasa (menahan diri dari makan dan minum pada hari siang )
2. Berbuka (makan dan minum pada waktu malam)
3. Bersahur (bersiap untuk puasa esok hari, waktunya ialah dinihari)
4. Memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa (kurma dan air segelas)
5. Solat tarawikh (solat sunat berehat-rehat pada malam hari lepas isyak sampai subuh)
6. Bertadarus dan bertilawah Al-Quran (belajar dan baca Al-Quran)
7. Beriktikaf di masjid (duduk dalam masjid pada malam hari)
8. Mengeluarkan zakat fitrah (bayar pada amil untuk bantu orang miskin menyambut raya)

Aku berpuasa tapi hanya perut dan mulut sahaja yang berpuasa, anggota lain tidak berpuasa. Aku berbuka tapi bukan dengan kurma dan air sejuk malah dengan berbagai makanan yang menyebabkan aku mudah dapat penyakit. Aku bersahur tapi tidak dihujung waktu dan makan dengan makanan yang mudah mendatangkan penyakit juga. Aku bertarawikh tapi tidak berjemaah malah sendirian dalam bilik. Aku membaca quran sorang-sorang tanpa ada yang menyemak bacaan ku sedangkan Nabi sendiri pun bacaannya disemak oleh jibril tiap malam dalam bulan Ramadan. Ahhh… terlalu banyak kesalahan yang aku buat sepanjang Ramadan lalu. Nyata amalan tanpa kefahaman dan keyakinan yang jitu banyak merugikan dari menguntungkan.
Ya Allah … berilah peluang untuk aku menebus kesilapan yang lalu supaya aku termasuk dalam golongan yang beruntung dalam bulan Ramadan ini. Berilah aku kekuatan supaya aku boleh aturkan jadual untuk aku beribadat dengan baik walaupun aku sibuk dengan kerja rutin ku. Permudahkanlah usaha aku untuk mendapat redho Mu dalam bulan yang mulia ini .

Kepada rakan , teman, kaum kerabat ku yang ku sayangi semuanya. Marilah berusaha untuk mendapatkan keuntungan Ramadan dengan melakukan apa yang aku senaraikan itu bersungguh-sungguh dan dengan cara yang betul. Belajarlah lagi untuk memperbaiki amalan kamu kerana amalan yang dibuat tanpa ilmu dan kefahaman yang betul akan ditolak oleh Allah. Alangkah ruginya kalau amalan yang kamu buat selama sebulan ini tidak dicatat oleh Allah dalam kitab amalan catatan Nya. Nanti kemana kamu mahu minta pertolongan pada hari kiamat kalau bekalan tidak ada. Dan jika ada pun tidak mencukupi. Justeru itu segeralah memperbaikinya mulai sekarang. Mudahan kamu semua mendapat hidayah Allah. Amin.

1 comment:

nurdia said...

alhamdulillah ... tq.. atas ingatan tu...