
Waktu tengahari aku pergi membeli makanan seperti biasa dan memakannya di pejabat aku. Aku tidak pergi ke masjid untuk bersolat berjemaah zohor hari ini sepertimana biasa yang aku buat pada hari-hari yang lain, sebaliknya aku hanya bersolat sendirian sahaja di pejabat aku dengan alasan badan aku rasa tidak sihat dan bimbang orang lain di masjid akan mendapat demam dan selsema aku ini.
Tiba-tiba aku dikejutkan dengan teguran bahawa apa yang aku buat itu tadi adalah ciri-ciri orang munafik. Aku tersentak dan bertanya mengapa sedangkan aku kan sakit dan lemah-lemah badan! Rupanya aku melebihkan dunia dan mengurangkan akhirat itu adalah salah satu ciri munafik (berpura-pura dan suka mencari-cari alasan). Mengapa aku boleh pergi beli makanan di bawah pejabat aku dalam keadaan aku sakit dan aku tidak boleh pergi masjid solat berjemaah juga dalam keadaan aku sakit? Kedua-dua tempat itu adalah berhampiran dengan pejabat ku. Kalau betul aku sakit mana mungkin aku boleh turun beli makanan. Paling tidak aku akan suruh staf aku belikan. Itu tandanya aku betul-betul sakit. Ini tidak bila untuk cari makanan dunia, sakit pun aku boleh buat, tapi bila untuk cari makanan akhirat, aku tidak boleh buat dengan alasan aku sakit. Kan Allah jadikan sakit itu untuk uji aku. Dia mahu lihat istiqomah kah aku dengan ibadatku. Itu saja. Tapi rupanya aku tidak faham semua itu.
Sebab itu aku kena belajar agama ini dengan lebih mendalam lagi, bukan sekadar mencari ilmu saja, malah lebih dari itu lagi aku kena dapatkan. Lalu aku teringat akan kata-kata nasihat alim ulamak yang mengatakan bahawa hidup ini mesti ada ilmu, mesti ada kefahaman, mesti ada semangat dan mesti ada istiqamah (tetap pendirian). Aku muhasabah diriku ternyata aku tidak ada keempat perkara yang disebutkan oleh alim ulamak itu. Aku tidak ada ilmu yang banyak tentang Islam, aku tidak faham sepenuhnya tentang Islam, aku tidak ada semangat yang kuat untuk amalkan perintah Islam dan aku tidak ada istiqomah yang kuat untuk terus beramal dengan amalan Islam tidak kira apa jua keadaan dan suasana. Mulai sekarang aku akan berpegang kepada empat nasihat itu iaitu ilmu, faham, semangat dan istiqomah.
Aku insaf dan rasa bersalah pada diriku dan pada Allah. Kalau betul aku sakit mengapa aku boleh pergi kerja dan memandu kereta dalam masa 30 minit untuk sampai pejabat aku. Dan untuk pergi masjid yang hanya 50 meter dari pejabat aku itu , aku tidak mampu dan buat alasan. Aku mulai takut dan bimbang jika alasan sakit ku itu Allah tidak akan terima. Alangkah ruginya aku. Ternyata aku lebihkan mencari wang dunia, tetapi aku abaikan mencari wang akhirat (pahala). Wang dunia hanya boleh beli barang dunia yang sifatnya akan musnah. Tapi wang akhirat (pahala) boleh beli barang syurga yang sifatnya kekal selama-lamanya. Ahh…. alangkah bodoh nya aku.
Bila bab kerja mencari duit sakit pun aku buat, sebab nya aku dibayar gaji dan ada amanah dari majikan ku yang wajib aku buat. Tapi aku lupa bahawa aku juga diamanahkan oleh majikan ku yang telah menciptakan aku supaya melakukan ibadat yang paling penting iaitu solat berjemaah. Majikan aku itu ialah Allah, Dia amanahkan aku solat berjemaah dan Dia bayar aku nanti dengan 27 pahala setiap kali aku solat berjemaah. Bayaran akan dibuat nanti dalam kubur dan dalam syurga. Sepatutnya majikan inilah yang perlu aku utamakan sebab bayaran gajinya cukup lumayan dan menyelamatkan aku dari azab. Sepatutnya aku tidak lagi bermain-main dengan alasan sakit bila mahu melakukan ibadat kepada Allah. Ya Allah ampuni lah aku, jauhi lah aku dari sifat munafik!! Jauhi lah aku dari kecintaan dunia dan masuki lah aku dalam golongan orang-orang yang Kau redhai.
Percayalah wahai rakan dan kaum kerabatku, jika kamu membiasakan melakukan ibadat masa muda dan sihat, kamu juga akan mudah melakukan ibadat itu pada masa kamu tua dan sakit. Kalau masa sihat kamu beribadat, masa sakit pun kamu mesti beribadat jua mengikut kemampuan. Itulah ajaran agama. Ayuh segera pulihkan kefahaman anda sebelum malaikat Izrail datang mencabut nyawa anda.